Tuesday, September 16, 2008

TAK PAYAH SOLAT.......

Tak Payah solat
“Hello bro, kau tak solat ke?”, “Solat, tok guru aku kata tak payah solat, jadi aku pun tak solatlah”.
Inilah jawapan lazim yang keluar dari mereka yang kononnya dah cukup ilmu agama. Teknologi dah semakin canggih.Segala ilmu tak perlu cari di tempat yang susah, cuma tinggal tekan punat komputer, semua keluar. Yang baik, yang buruk, apa nak semua ada tetapi tidak digunakan dengan sebaiknya untuk mencari kebenaran. Orang yang tidak solat ini biasanya menyatakan tok guru, kiai atau ustaznya kata tak payah solat. Maka disebabkan dia memang jenis “Kami dengar dan kami taat”, maka dengan sukanya dia mempraktikkan apa yang dikatakan oleh gurunya itu. Benar, Allah ada menyatakan beberapa ayat yang nampak macam kata tidak perlu solat contohnya:
Wahai orang-orang Yang beriman, janganlah kamu hampiri solat (an-nisa,4:43)
dan
maka Kecelakaan besar bagi orang-orang yang solat (al-ma’un,107:4)
“ Ha, kau tengok sendiri kan betul aku cakap, Allah kata jangan hampiri solat, celaka bagi orang-orang yang solat, tu sebablah aku tak solat”.
Wah... kalau beginilah orang mengambil dalil dari al-quran maka kucar-kacirlah hidup kita. Main cekup mana yang suka, yang penuh tidak diperhatikan maka jadilah seperti Rasul Kahar, apabila dia baca terjemahan surah yasin ayat 3:
Sesungguhnya kamu salah seorang dari Rasul-rasul (yasin,36:3)
Dengan suka hatinya dia menyatakan “Aku adalah rasul untuk orang-orang melayu yang faham bahasa melayu” sedangkan menurut Tafsir Ibn Kathir ayat ini merujuk kepada Nabi Muhammad bukan pada semua orang. Kalau sekiranya kita mengikut method Rasul Kahar ini, maka kita semua yang baca ayat ini adalah rasullah? Berbalik kepada dua ayat diatas, sebenarnya ayat ini diambil sekerat sahaja dan yang selebihnya tidak diutarakan, maka disini penulis sertakan ayat yang penuh:
Wahai orang-orang Yang beriman, janganlah kamu hampiri solat (mengerjakannya) sedang kamu Dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa Yang kamu katakan. dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu Dalam keadaan Junub (berhadas besar) - kecuali kamu hendak melintas sahaja - hingga kamu mandi bersuci. dan jika kamu sakit, atau sedang Dalam musafir, atau salah seorang di antara kamu datang dari tempat buang air, atau kamu bersentuh Dengan perempuan, kemudian kamu tidak mendapat air (untuk mandi atau berwuduk), maka hendaklah kamu bertayamum Dengan tanah - debu, Yang suci, Iaitu sapukanlah ke muka kamu dan kedua tangan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.(an-nisa, 4:43)
dan untuk surah al-ma’un kita perlu lihat ayat itu dan ayat yang seterusnya baru lengkap:
maka Kecelakaan besar bagi orang-orang yang solat (4) iaitu orang-orang yang lalai dari solatnya(5)
(al-ma’un,107:4-5)
Ibnu Abbas dalam mentafsirkan firman Allah dalam surah al-maa’un ini menyatakan: “ Yakni orang-orang munafik yang mengerjakan solat dihadapan banyak orang dan tidak mengerjakannya ketika bersendirian” . Untuk surah an-nisa ini Allah melarang hamba-hamba-NYa yang beriman mengerjakan solat dalam keadaan mabuk yang menyebabkan ia tidak tahu apa yang diucapkannya.Ayat ini adalah diantara 3 ayat yang Allah wahyukan kepada Nabi Muhammad sebelum Arak diharamkan . Penulis tidak akan menyentuh panjang berkenaan arak disini, tetapi yang ingin penulis jelaskan ialah kondisi sebenar ayat ini, bukanlah sebagaimana yang difahami oleh orang-orang yang tidak solat.
“Siapa yang wajib solat?” Mungkin inilah soalan biasa yang diutarakan orang apabila dia sudah mengetahui tentang solat. Maka penulis sertakan pendapat Imam Syafie dalam perkara ini:
“Sekiranya usia mereka masih kurang dari 15 tahun, mereka diwajibkan untuk melaksanakan solat, kerana ia sudah mengerti” . Bahkan menurut sebuah hadith yang sohih:
Bahawa Nabi s.a.w telah mengutus Muaz bin Jabal ke Yaman lalu bersabda kepadanya:
Serulah mereka kepada pengakuan bahawa tiada Tuhan yang wajib disembah melainkan Allah dan bahawasanya aku adalah Muhammad Utusan Allah. Sekiranyanya mereka mentaati perkara tersebut, maka ajarkanlah kepada mereka bahawa Allah telah memfardhukan keatas mereka sembahyang lima waktu sehari semalam( HR Bukhari dan Muslim)
Penulis ingin bertanya, adakah ada diatara kita yang tidak mengucap dua kali masyahadah? Maka sekiranya kita telah mengucapkan dua kali masyahadah maka menjadi wajib kepada kita untuk solat.
“Kalau sekiranya tidak solat juga?”. Inilah jawapan yang diberi oleh Nabi Muhammad s.a.w :
"(Pembatas) antara seorang muslim dengan kemusrikan dan kekufuran adalah meninggalkan shalat." (HR. Muslim di dalam kitab Shahihnya bersumber dari Jabir radhiyallahu 'anhu)
dan dalam hadith yang lain:
"Perjanjian antara kita dengan mereka (orang munafik) adalah shalat, barangsiapa
meninggalkannya maka sesungguhnya ia telah kafir".
(HR. Imam Ahmad dan Ashabus sunan dengan sanad shahih).

Syubki menyebutkan dalam Thabaqat asy-Syafi’iyah bahawa Syafie dan Ahmad pernah berdebat mengenai hukum orang yang meninggalkan solat. Syafie menyatakan, “Hai Ahmad, apakah menurut pendapat engkau ia kafir?” Ujar Ahmad “Memang” Syafie, “Jika ia kafir, bagaimana caranya ia masuk islam?” Ahmad, “Hendaklah ia menyatakan,’ Laa ilaaha illallah, Muhammadur Rasulullah,” Syafie, “Orang itu masih mempertahankan ucapan tersebut dan belum
pernah meninggalkannya.” Ahmad, “Kalau begitu, ia masuk Islam dengan melakukan solat.” Syafie. “Shalat orang kafir tidak sah dan dengan itu ia tidak dapat dikatakan masuk islam.” Maka Ahmad pun diam dan semoga kedua Imam itu diberi rahmat oleh Allah ta’ala.

Maka renungkanlah, dimanakah kita? Betulkah maksud sebenar “Tak Payah Solat” itu bererti tidak perlu solat atau “Tidak SUSAH solat”? Penulis serahkan pada pembaca untuk menilainya berpandukan al-Quran dan Sunnah.
Ingatlah firman Allah ini:

dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu (Az-Zhariyat,51:56)

No comments: