Friday, September 26, 2008

Apakah Al-Jamaah

Apakah “Al-Jamaah” ???

Disediakan oleh : Mohd.Hairi Bin Nonchi (Pendidikan Dengan Sains Sosial, UMS)

Dalam sebuah hadis, Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud: “Ketahuilah bahawa orang-orang sebelum kamu daripda Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) telah berpecah kepada tujuh puluh dua kumpulan, dan sesungguhnya kumpulan ini (umat Islam) akan berpecah kepada tujuh puluh tiga (kumpulan), tujuh puluh dua daripadanya akan masuk neraka dan hanya satu daripadanya akan masuk syurga iaitu al-Jamaah[1]

Menerusi hadis di atas, Rasulullah s.a.w telah mengkhabarkan kepada kita bahawa selepas kewafatan baginda saw umat Islam akan berpecah kepada beberapa golongan. Ternyata apa yang diungkapkan oleh baginda saw tersebut benar-benar berlaku ketika ini, di mana umat Islam telah berpecah belah kepada sekian-sekian aliran, jamaah, puak, kumpulan atau golongan. Walau bagaimanapun, disamping perkhabaran baginda s.a.w mengenai berlakunya perpecahan tersebut, baginda s.a.w juga turut mengingatkan kita bahawa hanya satu kumpulan sahaja daripada kumpulan-kumpulan yang berpecah ini yang akan berjaya memasuki syurga, iaitu “al-Jamaah.

Apakah yang dimaksudkan dengan “al-Jamaah” ? Dari sudut bahasa al-Jamaah adalah persatuan di mana lawannya adalah perpecahan. Dari sudut istilah pula, al-Jamaah adalah persatuan umat Islam di atas kebenaran dan usaha mereka untuk menjauhkan perpecahan, pengasingan dan pemulauan (boikot) sesama umat Islam sama ada dalam bentuk yang kecil atau besar. Justeru, Rasulullah saw menyampaikan hadis di atas dalam rangka memberi amaran keras kepada umatnya untuk tidak berpecah belah menjadi beberapa kumpulan, puak atau kelompok yang saling berselisih dan bertelagah antara satu sama lain serta berlaku ujub (bangga) dengan kelompok masing-masing. Hendaklah umat Islam semuanya bersatu sebagai satu Jamaah.

Apakah Kreateria Utama “Al-Jamaah” Yang Sebenar.

Pertama : Sesiapa sahaja yang berpegang teguh kepada kebenaran maka dia termasuk al-Jamaah. Al-Jamaah bukanlah kumpulan, puak, firqah, parti atau persatuan, tetapi semua umat Islam yang bersatu di atas kebenaran. Kebenaran yang dimaksudkan di sini pula sudah tentulah kebenaran yang bersumberkan kepada petunjuk al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih berdasarkan amalan dan pemahaman generasi salafus soleh, iaitu generasi yang mendapat pengiktirafan baginda sebagai sebaik-baik generasi umat ini. Tidak boleh bersatu di atas sesuatu yang bathil atau terkeluar dari batas-batas islam seperti bersatu di atas amalan-amalan bid’ah dan seumpamanya. Justeru, sesiapa sahaja yang berpegang teguh kepada kebenaran tersebut, maka dia termasuk dalam al-Jamaah yang diiktiraf oleh baginda saw.

Kedua : Al-Jamaah tidak diukur berdasarkan kepada kuantiti atau bilangan pengikutnya. Sebaliknya, yang diukur ialah asas-asas yang membentuk sesuatu dasar manhaj atau pegangan. Inilah dasar pertama yang terpenting sehingga dijadikan pegangan Abd Allah ibn Mas’ud r.a sepertimana katanya : “Al-Jamaah adalah (setiap) apa yang menepati kebenaran – sekalipun – engkau bersendirian” [2].

Selain itu, Al-Imam Abu Syamah As-Syafi’e r.h ketika menghuraikan maksud al-Jamaah, beliau berkata : “Acapkali datang perintah untuk berpegang teguh dengan al-Jamaah, maka yang dimaksudkan (ialah berpegang kepada) kebenaran dan para pengikutnya, walaupun orang yang berpegang teguh dengan kebenaran sedikit jumlahnya dan orang yang menyelisihinya banyak jumlahnya. Hal ini kerana kebenaran ialah ajaran yang diamalkan oleh al-Jamaah generasi pertama semenjak Nabi s.a.w dan para sahabatnya r.a, dan tidak dipertimbangkan banyaknya jumlah pengikut kebatilan yang ada setelah mereka.. [3]

Bagaimanakah Seharusnya Kita Berjamaah ?

Pertama : Berjamaah adalah di atas kebenaran, iaitu umat Islam bersatu di atas kebenaran yang berasal dari al-Quran dan al-Sunnah yang sahih sebagaimana yang telah dijelaskan di atas. Jika didapati seseorang atau sesuatu kumpulan itu jelas menyalahi kebenaran, maka tidak perlulah lagi berjemaah dengannya seperti orang yang secara terang-terangan membenci sunnah Rasulullah dan para sahabat atau “kumpulan” yang meletakkan “firman” Allah dan “sabda” Rasulullah di tangga kedua selepas perkataan atau amalan tok guru atau para syaikh pujaan mereka.

Kedua : Berjemaah tidak semestinya bererti persatuan pendapat, tetapi adalah toleran (bertolak ansur) terhadap beberapa pendapat yang sedia ada. Namun perlu diingat bahawa sikap toleran hanyalah terhadap beberapa pendapat yang mana masing-masing memiliki kebenaran dan bukannya semua pendapat kerana pendapat yang jelas batil dan bertentangan dengan pegangan baginda s.a.w dan para sahabat r.a wajib ditolak atau diperbetulkan.

Ketiga : Berjemaah bukanlah bererti tidak boleh wujud beberapa kumpulan atau gerakan tetapi berjemaah adalah berkerjasama sesama kumpulan dan gerakan serta saling menghormati antara satu sama lain. Tidak boleh saling pulau memulau (boikot) dan memburuk-burukkan mana-mana individu atau gerakannya. Demikian juga, tidak boleh merasa ujub kepada ahli kumpulan atau gerakan sendiri sehingga merasakan kumpulan sendirilah yang paling benar lagi Islamik, sementara kumpulan lain sebaliknya. Sikap seumpama ini hendaklah dielakkan kerana jika dibiarkan ianya hanya akan menyemarakkan lagi semangat asobiah (taksub pada puak sendiri) dan api perpecahan umat atau al-Jama’ah Islamiyah yang diasaskan oleh baginda s.a.w.

Sekiranya ciri-ciri seperti ini terdapat dalam sesebuah kumpulan atau gerakan, maka ketahuilah bahawa sesungguhnya gerakan atau kumpulan tersebut tidak lagi dikira sebagai al-Jamaah yang benar, tetapi hakikatnya ia telah terkeluar dari al-Jamaah baginda s.a.w. Kepada mana-mana gerakan atau kumpulan yang memiliki ciri-ciri seperti ini, maka cukuplah firman Allah ini dijadikan sebagai peringatan :

“… Dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang mensyirikkan Allah, iaitu orang-orang yang memecah-belahkan agama mereka dan mereka menjadi beberapa golongan. Tiap-tiap golongan merasa bangga dengan apa yang ada pada golongan mereka …” (Surah al-Rum : 31)

Malah, baginda s.a.w sendiri juga pasti akan “berlepas tangan” dari golongan seperti ini, firman-Nya :

Bahawasanya orang-orang yang mencerai-beraikan agama mereka dan mereka menjadi berpuak-puak, tiadalah engkau (wahai Muhammad) terkait sedikitpun dalam (perbuatan) mereka. Sesungguhnya perkara mereka hanya terserah kepada Allah. Kemudian Dia akan menerangkan kepada mereka (pada Hari Kiamat kelak), apa yang telah mereka lakukan (dan membalasnya)..” (Surah al-An’am : 159)

Demikianlah secara ringkas beberapa dasar utama konsep berjamaah dalam Islam. Berjamaah berlandaskan dasar-dasar di atas wajib ditegakkan dan dipelihara tanpa mengira mazhab fiqh dan fikrah politik. Ingatlah, sesiapa sahaja yang memecah-belahkan al-Jamaah umat Islam, maka dia termasuk salah satu 72 kumpulan yang akan masuk ke dalam neraka. Walya’udzubillahi-min-dzalik.

Menyalah-gunakan Istilah Al-Jamaah

Di bawah ini akan penulis bawakan beberapa buah hadis sahih mengenai al-Jamaah yang SERING disalahgunakan oleh SEGELINTIR jamaah, puak, kumpulan atau golongan tertentu, di antaranya :

i) Dari Abd Allah ibn Abbas r.a, bersabda Rasulullah saw: “Orang yang memisahkan dirinya daripada JAMAAH sekalipun dengan jarak sehasta lalu dia mati, maka matinya adalah dalam jahliyah” [4]

ii) Dari ‘Abdullah ibn ‘Umar r.a, bersabda Nabi saw: “ ... tangan Allah atas JAMAAH dan barangsiapa yang mengasingkan diri, maka dia mengasing ke neraka ” [5]

iii) Dari ‘Umar ibn al-Khattab r.a bersabda Rasulullah saw : “ Wahai manusia, berJAMAAHlah kamu dan janganlah kamu berpecah-belah. Sesiapa yang hendak tempat di tengah-tengah syurga maka hendaklah dia selal berjamaah ” [6]

Demikian beberapa hadis Rasulullah saw mengenai kepentingan berjamaah dan ancaman keras bagi mereka yang memecah-belahkan al-jamaah umat Islam. Malangnya, hadis-hadis di atas dan lain-lain hadis sahih yang semakna dengannya (yakni hadis-hadis mengenai al-Jamaah) sering disalahgunakan dan dieksploitasi oleh SEBILANGAN kumpulan, puak atau golongan tertentu bagi menarik ahli baru dan mengancam mana-mana ahli yang hendak “keluar” daripada gerakan atau kumpulan mereka. [7] Sekali lagi ditekankan di sini bahawa maksud al-jamaah dalam hadis tersebut bukan sesuatu parti, pertubuhan, persatuan atau organisasi, akan tetapi semua umat Islam adalah satu jamaah. Oleh itu, hendaklah kita semua bersatu dan saling berkasih sayang sebagai satu jamaah. Tidak ada yang difikirkan, tidak ada yang diusahakan, tidak ada yang ditujukan kesetiaan, tidak ada yang diberikan pembelaan, tidak ada yang ditumpahkan perasaan cinta dan akrab melainkan sesama umat Islam seluruhnya.

Hendaklah kita semua sedar bahawa berjamaah adalah salah satu asas terpenting dalam agama. Oleh itu, janganlah asas ini diruntuhkan semata-mata hal-hal remeh atau menjaga kepentingan peribadi seperti ego dan maruah diri atau kumpulan-kumpulan tertentu. Fikir-fikirkanlah demi kepentingan agama dan umat Islam seluruhnya. Semoga risalah ini bermanfaat buat semua. Insya’Allah.

Sekian dahulu dari penulis, Wassalam. mohd.hairi_nonchi@yahoo.com.my



[1] Sahih – Dkeluarkan oleh Abu Daud dalam Sunannya – no: 4429. Disahihkan oleh al-Tirmizi, al-Hakim, al-Zahabi dan al-Juzani dalam kitab al-Abathil 1/302, al-Baghawi dalam Syarah al-Sunnah, 1/213, al-Syathibi dalam al-I’tisham, 2/698, , Ibn Taimiyyah dalam al-Majmu’ al-Fatawa 3/345, Ibn Katsir dalam Tafsir Ibn Katsir, 1/390, Ibn Hajar dalam Takhrij al-Kasysyaf, ms. 63, al-‘Iraqi dalam al-Mughni ‘an Hamlil Asfar, no: 3240, , al-Albani dalam Silsilah al-Sahihah, no: 203 dan lain-lain.

[2] Sahih – Dikeluarkan oleh Ibn ‘Asakir dalam Tarikh Damshiq, jld. 46, ms. 409 dan dinilai sahih oleh Syaikh Nashiruddin al-Albani dalam al-Misykat al-Mashabih, jld. 1, ms. 56.

[3] Abu Syamah As-Syafi’e, Al-Ba’its ‘Ala Ingkari Al-Bida’ Wal Hawadits, ms. 34

[4] Sahih - Dikeluarkan oleh Muslim dalam Sahih Muslim – no: 1849

[5] Sahih - Diriwayatkan oleh al-Tirmizi. Sila lihat Sahih Sunan al-Tirmizi – no: 2167 dan al-Jamii’ al-Saghier – no: 1818.

[6] Sahih – Dikeluarkan oleh Ibnu Abi Ashim dan dinilai sahih oleh Syaikh al-Albani dalam Kitab al-Sunnah – no: 897

[7] Sudah pasti sahaja perbuatan ini merupakan suatu pendustaan ke atas Rasulullah saw. Oleh itu, cukuplah penulis mengingatkan kepada mereka yang sering menyalah-gunakan istilah al-Jamaah untuk tujuan menjaga kepentingan “puak” sendiri dengan sabda Rasulullah saw: “ Barangsiapa yang berdusta menggunakan namaku dia telah menempah tempatnya dalam neraka” (Hadis sahih dikeluarkan oleh al-Bukhari dan Muslim). Ini kerana, antara salah satu bentuk pedustaan ke atas baginda s.a.w ialah memalingkan makna sesebuah hadis kepada perkara yang terkeluar daripada makna sebenar hadis tersebut.

No comments: