Friday, September 26, 2008

Siapakah Golongan Yang tercicir

Siapakah Golongan Yang Tercicir ?

Penulis : Mohd Hairi Nonchi (Pendidikan Dengan Sains Sosial, UMS)

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a di mana beliau berkata:

“Di suatu ketika Rasulullah s.a.w telah melalui sebuah kawasan perkuburan, seraya bersabda: “Salam sejahtera ke atas kamu, wahai perkampungan orang-orang beriman! Kita akan menyusul bersama kamu. Insya’Allah, aku berharap aku dapat melihat saudara-saudaraku”. Bertanya para sahabat yang hadir ketika itu: “Wahai Rasulullah! Bukankah kami ini saudara kamu?”. Rasulullah s.a.w menjawab: “Tidak, kamu adalah sahabat-sahabat aku. Saudara-saudaraku adalah mereka yang akan datang di kemudian hari (selepas kewafatanku) dan aku memimpin mereka ke telaga Hawdh”.

Para sahabat bertanya lagi: “Wahai Rasulullah! Bagaimanakah kamu akan mengenali umat-umat yang akan datang selepas (kewafatan) kamu?”. Rasulullah s.a.w menjawab: “Tidakkah seseorang yang memiliki seekor kuda yang berkaki putih di kalangan beberapa ekor kuda yang hitam dapat mengenali yang mana satukah kudanya?” (Jawab para sahabat) “Sudah tentu ya Rasulullah!”.

Rasulullah meneruskan: “Sesungguhnya mereka (umat Islam selepas kewafatan Rasulullah) akan datang di hari Kebangitan (Kiamat) dengan tanda-tanda keputihan di dahi, tangan dan kaki mereka disebabkan oleh kesan-kesan wudhu’, dan aku akan memimpin mereka ke arah telaga Hawdh. Akan tetapi, ada di antara mereka yang akan dihalau daripada telaga Hawdh seperti unta-unta berkeliaran. Lalu aku memanggil-manggil akan mereka: “ Datanglah ke mari! (sebanyak 3 kali)”. Dan ketika itu seseorang (atau suatu suara) yang akan berkata: “Mereka itu adalah orang-orang yang telah menukar-nukar perkara (agama) selepas engkau”. Lalu aku akan berkata pula: “Jikalau begitu pergilah mereka, pergilah mereka, pergilah mereka!” [Diriwayatkan oleh Imam Malik dalam Al Muwwatha’, hadis no: 26-29]

Pengajaran Hadis :

Dalam hadis yang tertera di atas Rasulullah s.a.w telah mengkhabarkan kepada kita mengenai suasana yang bakal berlaku pada hari Kiamat di mana pada hari itu umatnya akan terbahagi kepada dua golongan, yang pertama adalah mereka yang berjaya mendatangi telaga al-Hawh, iaitu sebuah telaga minuman yang disediakan oleh Allah khusus untuk umat Nabi s.a.w. Manakala yang kedua adalah mereka yang tercicir daripada memperolehi nikmat tersebut. Risalah ringkas ini akan menumpukan perbincangan mengenai siapakah golongan kedua yang malang itu.

Jika diperhatikan dalam matan (teks) hadis tersebut, Rasulullah s.a.w ada menyebut : “ …tanda-tanda keputihan di dahi, tangan dan kaki mereka disebabkan oleh kesan-kesan wudhu’...”. Kenyataan baginda s.a.w ini mengisyaratkan kepada kita bahawa mereka semua adalah kelompok umatnya yang terdiri daripada golongan ahli ibadah.

Namun, seperkara yang memeranjatkan kita ialah dalam hadis tersebut juga Rasulullah s.a.w ada menyebut: “ ada di antara mereka yang akan dihalau daripada telaga Hawdh seperti unta-unta berkeliaran..”. Daripada pernyataan Rasulullah s.a.w ini maka dapat difahami bahawa dalam kalangan “orang-orang yang beribadah” itu akan ada sekelompok dari mereka yang akan dihalau dari telaga al-Hawdh Rasulullah s.a.w. Di sini timbul persoalan, siapakah mereka ? Mengapakah mereka dihalau oleh baginda s.a.w sedangkan mereka juga termasuk umat Nabi Muhammad s.a.w dan kalangan ahli ibadah?

Persoalan ini dapat dijawab dengan memerhatikan hujung matan (teks) hadis itu sendiri : “Mereka itu adalah orang-orang yang telah menukar-nukar perkara (agama) selepas engkau”. Dengan jawapan ini, maka tidak syak lagi bagi kita bahawa mereka adalah golongan ahli ibadah yang gemar melakukan amalan-amalan bid’ah di dalam agama. Atas kesedaran ini, ingin penulis mengambil kesempatan untuk memperingati kaum Muslimin dan Muslimat agar senantiasa memerhatikan amal ibadah yang kita kerjakan selama ini. Apakah ianya sesuatu yang bertsabitan dari al-Sunnah Rasulullah s.a.w yang sahih atau tidak.

Hal ini perlu diberi perhatian oleh semua pihak memandangkan ianya melibatkan status kita di akhirat kelak, apakah kita termasuk dalam golongan yang selamat dan mendapat kemuliaan mendatangi telaga al-Hawdh itu atau sebaliknya. Janganlah kerana kita termasuk dalam kategori “ahli ibadah” kita mengambil sikap sambil lewa, lantas cuai dan leka di dalam memerhatikan kesahihan amalan yang telah atau akan kita lakukan. Ingatlah, sekadar beribadah sahaja tidak akan mampu menyelamatkan kita dari menerima azab Allah. Dengan hanya beribadah sahaja tidak akan dapat menjanjikan pembelaan Rasulullah s.a.w di hadapan Mahkamah Allah kelak- jika ibadah yang dilakukan itu termasuk dalam amalan-amalan yang jauh dari petunjuk al-Sunnah Rasulullah.

Oleh itu, marilah kita bersama-sama berittiba’ (mengikuti) kepada Sunnah Rasulullah s.a.w yang sahih, dan menjauhkan diri dari segala bentuk perbuatan bid’ah dalam agama agar kita tidak termasuk dalam kelompok “yang akan dihalau daripada telaga Hawdh seperti unta-unta berkeliaran..” sebagaimana yang dikhabarkan oleh Rasulullah s.a.w menerusi hadisnya di atas.

Bahaya Membangkang Hadith

Bahaya Membangkang Hadis Nabi S.A.W

Dengan Logik Akal & Ucapan Manusia

Disediakan oleh : Mohd Hairi Nonchi (Pendidikan Dengan Sains Sosial, UMS)

Imam Ahmad bin Hanbal r.h telah berpesan: “Barangsiapa yang menolak (membantah) hadis Rasulullah s.a.w, dia berada di jurang kebinasaan” [1]

Dalam riwayat al-Fadhl bin Zaid, Imam Ahmad bin Hanbal r.h berkata : “Aku melihat di mushhaf al-Qur’an, maka aku temui padanya (perintah) untuk taat kepada Rasulullah s.a.w terdapat pada 33 tempat” Kemudian beliau terus membaca beberapa kali ayat ini :“Maka hendaklah orang-orang yang menyalahi perintah Rasul takut akan ditimpa fitnah atau ditimpa azab yang pedih” (Surah al-Nuur : 63).

Lalu beliau (Imam Ahmad) bertanya: “Apakah yang dimaksudkan dengan fitnah? (iaitu) kesyirikan, katanya, kerana jika dia menolak sebahagian perkataan (hadis) dia dikhuatirkan akan muncul dalam hatinya kecenderungan untuk menyimpang (sesat), lalu hatinya pun menyimpang (dari kebenaran) dan membinasakannya, kemudian Imam Ahmad r.h membaca ayat di bawah ini: “Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak (disifatkan) beriman sehingga mereka menjadikanmu (wahai Muhammad) sebagai hakim dalam (memutuskan hukum) dalam perkara yang mereka perselisihkan...” (Surah al-Nisaa’ : 65)

Dikatakan kepada Abu Talib al-Misykani, bahawasanya ada segolongan orang yang meningalkan hadis Rasulullah s.a.w, lalu mengambil pendapat Sufyan (al-Tsauri), maka beliau berkata:“ Aku merasa hairan pada suatu kaum yang telah mendengar hadis Rasulullah s.a.w dan mengetahui kesahihan sanadnya[2], namun mereka meninggalkannya dan mengambil pendapat Sufyan dan lainnya. Allah s.w.t berfirman: “Maka hendaklah orang-orang yang menyalahi perintah Rasul takut akan ditimpa fitnah dan azab yang pedih”. Apakah engkau tahu makna ‘al-fitnah’? iaitu kekufuran. Allah s.w.t berfirman : “Dan fitnah (kekufuran) itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan” (Surah al-Baqarah : 217)

Maka (dikhuatirkan) mereka meninggalkan hadis dari Rasulullah s.a.w dan dikuasai oleh hawa nafsu mereka sehingga beralih kepada logika (logik akal). Maka, jika seorang menyelisihi perintah beliau (Rasulullah s.a.w) telah diperingati agar berwaspada dari kekafiran dan kesyirikan atau azab yang pedih, hal ini menunjukkan bahawa perbuatan tersebut (menyelisihi Rasulullah s.a.w) dapat mengheret seseorang kepada kekafiran atau ‘azab yang pedih”. [3]

Daripada Ibn Syihab bahawa Salim bin Abdullah menceritakan, dia mendengar seorang lelaki dari Syam bertanya Abdullah bin ‘Umar berkenaan melakukan Tamattu’ dalam umrah ketika haji. Abdullah bin ‘Umar menjawab: Ia halal. Kemudian berkata seorang di kalangan orang Syam (kepada Abdullah bin ‘Umar) : “Sesungguhnya bapamu (‘Umar) telah telarangnya. Abdullah bin ‘Umar menjawab: Engkau lihat sekiranya bapa aku melarang daripadanya tetapi ia dilakukan oleh Rasulullah s.a.w, adakah bapaku perlu diikuti atau Rasulullah s.a.w ?!” [4]

Daripada Qatadah, beliau meriwayatkan : Ibnu Sirin telah memberitahu kepada seorang lelaki tantang sebuah hadis daripada Nabi s.a.w. Kemudian lelaki itu berkata: Tetapi si fulan berkata begini dan begini. Maka Ibnu Sirin berkata: Aku berkata ini hadis daripada Nabi s.a.w tetapi engkau berkata si fulan telah berkata begini dan begitu. Aku tidak akan bercakap dengan engkau selama-lamanya !!” [5]

‘Urwah berkata kepada Ibnu ‘Abbas r.a : “Celaka engkau, engkau telah menyesatkan manusia! Kerana engkau memerintahkan untuk melakukan ibadah umrah pada sepuluh hari (pertama bulan Dzulhijjah) padahal tidak ada (disunnahkan) umrah pada hari-hari itu”. Maka Ibnu ‘Abbas berkata : “Ya Uray, tanyakanlah pada ibumu!”. ‘Urwah berkata: “Bahawasanya Abu Bakar dan ‘Umar tidak pernah berkata (berpendapat) seperti itu, sedangkan mereka benar-benar lebih mengetahui dan lebih mengikuti Rasulullah s.a.w daripadamu”. Maka dijawab oleh Ibnu ‘Abbas r.a: “Di sinilah kalian didatangi! Kami membawakan kepadamu (hadis atau perkataan) Rasulullah s.a.w dan kamu membawakan (perkataan) Abu Bakar dan ‘Umar (untuk membantah hadis Rasulullah s.a.w – pent) ?!” Dalam riwayat yang lain, Ibnu ‘Abbas r.a berkara kepadanya: “Celaka engkau! Apakah mereka berdua (Abu Bakar dan Umar) lebih engkau dahulukan ataukah yang termaktub dalam al-Qur’an dan disunnahkan oleh Rasulullah s.a.w bagi sahabat dan umatnya?!”

Setelah membawakan ucapan Ibnu ‘Abbas r.a di atas, Syaikh ‘Abdurrahman bin Hasan r.h menuturkan: “Dalam ucapan Ibnu ‘Abbas terdapat dalil yang menunjukkan bahawasanya seseorang yang telah sampai kepadanya suatu dalil (daripada hadis Rasulullah s.a.w yang sahih) lalu tidak mengambilnya kerana bertaklid kepada imamnya, maka orang itu wajib diingkari dengan keras kerana sikapnya yang menyelisihi dalil” [6]

Firman Allah s.w.t : “Wahai orang-orang yang beriman, jangalah kamu meninggikan suara kamu melebihi suara Nabi dan janganlah kamu menyaringkan suara (dengan lantang) semasa bercakap dengannya sebagaimana kamu menyaringkan suara semasa bercakap sesama kamu. (Larangan demikian) supaya amal-amal kamu tidak terhapus pahalanya, sedangkan kamu tidak menyedari” (Surah al-Hujarat : 2)

Berhubung dengan ayat di atas, Ibnu al-Qayyim al-Jauziyah r.h dalam kitabnya I’laamul Muwaqqi’iin, jilid 2, halaman 94 berkata: “Sekiranya meninggikan suara mengatasi suara Nabi s.a.w menjadi penyebab kepada terhapusnya (pahala) amalan, bagaimana pula kedudukan seseorang yang mendahulukan pendapat, akal, siasah dan pengetahuannya (melebihi) daripada apa yang dibawa (disunnahkan) oleh Nabi s.a.w. Sudah tentulah amalannya lebih mudah terhapus” [7]

Muhammad bin Nasr al-Marwazi (w294H) memberitahu bahawa Ishaq bin Rahawaih (w238H) berkata : “Sesiapa yang telah menerima daripada Rasulullah s.a.w khabar (hadis) yang diyakini kesahihannya, kemudian beliau menolaknya tanpa berselindung, maka dia menjadi kafir. Hujah kami dalam mengkafirkan golongan ini ialah firman Allah s.w.t : “Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya” (Surah al-Nisaa’ : 65) [8]

“Umar bin al-Khattab r.a menuturkan : “Janganlah kamu duduk dengan orang-orang yang berpegang kepada rasional (lojik akal) mereka, kerana sesugguhnya mereka itu musuh-musuh sunnah Rasulullah s.a.w, mereka tidak mampu menghafal (memelihara) sunnah, mereka lupa (dalam sebuah riwayat, mereka diserang) hadis-hadis Rasulullah s.a.w sehingga mereka pun tidak mampu untuk memahaminya, mereka ditanya tentang hal yang tidak mereka ketahui lalu merasa malu untuk menyatakan : ‘Kami tidak tahu’, sehingga mereka pun berfatwa dengan akal mereka, maka mereka tersesat dari jalan yang lurus. Sesungguhnya, Nabimu (Muhammad s.a.w) tidaklah diwafatkan kecuali setelah Allah s.w.t mencukupi dengan wahyu dan menjauhi lojik akal, dan seandainya akal itu lebih utama daripada Sunnah, nescaya mengusap bahagian bawah kedua sepatu/kasut (khuf) lebih utama daripada mengusap bahagian atasnya ” [9]



[1] Diukil daripada buku Sifat Solat Nabi, karya Syaikh Nashiruddin al-Albani, terbitan Media Hidayah, Yogyakarta, cetakan 2000, ms. 61

[2] Sanad bermaksud rantaian periwayat hadis yang meriwayatkan sesuatu hadis.

[3] Lihat kitab ash-Shaarimul Masluul, ms. 56-57 dna ucapan Imam Ahmad yang pertama dapat anda ketemui pada kitab al-Ibaanah­ karya Ibnu Baththah, no: 97. Penulis nukil daripada buku Sittu Durar min Ushuuli Ahlil Atsar oleh ‘Abdul Malik bin Ahmad Ramadhani (dalam edisi terjemahan bertajuk 6 Pilar Utama Dakwah Salafiyyah oleh Mubarak B.M Bamuallim Lc.) terbitan Pustaka Imam Syafi’i, Jakarta, cetakan kedua 2005, ms. 187-189

[4] Driwayatkan oleh al-Tirmizi dengan sanad yang sahih. Dinukil daripada buku Amalan Berzikir : Antara Sunnah & Rekaan Manusia karya Mohd Khairil Anwar bin Abdul Latif, Karya Bestari, Shah Alam, Selangor, cetakan 2007, ms. 11-12

[5] Diriwayatkan oleh al-Darimi. Dinukil daripada buku Amalan Berzikir : Antara Sunnah & Rekaan Manusia ms. 12

[6] 6 Pilar Utama Dakwah Salafiyyah, ms. 120-121.

[7] Dinukil daripada buku Amalan Berzikir : Antara Sunnah & Rekaan Manusia, ms. 11

[8] Sejarah Perkembangan Hadis, Rosli Mokhtar dan Mohd Fikri Che Hussain, Syarikat Jahabersa, Johor Bahru, cetakan 2008, ms. 7-8

[9] Dikeluarkan oleh Ibnu Abi Zumanain dalam Ushuulu Sunnah – no: 8, al-Lalika’i dalam Syarh Ushuulil I’tiqaad – no: 201, al-Khathib al-Baghdadi dalam al-Faqiih wal Mutaffaqqih – no: 476-480, Ibnu ‘Abdil Barr dalam Jaami’ Bayaanil ‘Ilmi wa Fadhlih – no: 2001, 2003, 2005, Ibnu Hazm dalam al-Ihkaam, IV/42-43, al-Baihaqi dalam al-Madhkal, 312, Qiwamus Sunnah dalam al-Hujjah, I/205, pada sebahagian sanadnya ada yang lemah dan ada pula yang terputus, namun demikian, sebahagian sanad menguatkan sebahagian yang lain. Oleh kerana itu, Ibnu al-Qayyim r.h berkata: “Sanad-sanad ucapan ‘Umar ini sangat sahih”. Lihat I’laamul Muwaqqi’iin, I/44. Dinukil dan diubahsuai dengan sedikit suntingan bahasa daripada buku 6 Pilar Utama Dakwah Salafiyyah, ms. 116-118.

Apakah Al-Jamaah

Apakah “Al-Jamaah” ???

Disediakan oleh : Mohd.Hairi Bin Nonchi (Pendidikan Dengan Sains Sosial, UMS)

Dalam sebuah hadis, Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud: “Ketahuilah bahawa orang-orang sebelum kamu daripda Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) telah berpecah kepada tujuh puluh dua kumpulan, dan sesungguhnya kumpulan ini (umat Islam) akan berpecah kepada tujuh puluh tiga (kumpulan), tujuh puluh dua daripadanya akan masuk neraka dan hanya satu daripadanya akan masuk syurga iaitu al-Jamaah[1]

Menerusi hadis di atas, Rasulullah s.a.w telah mengkhabarkan kepada kita bahawa selepas kewafatan baginda saw umat Islam akan berpecah kepada beberapa golongan. Ternyata apa yang diungkapkan oleh baginda saw tersebut benar-benar berlaku ketika ini, di mana umat Islam telah berpecah belah kepada sekian-sekian aliran, jamaah, puak, kumpulan atau golongan. Walau bagaimanapun, disamping perkhabaran baginda s.a.w mengenai berlakunya perpecahan tersebut, baginda s.a.w juga turut mengingatkan kita bahawa hanya satu kumpulan sahaja daripada kumpulan-kumpulan yang berpecah ini yang akan berjaya memasuki syurga, iaitu “al-Jamaah.

Apakah yang dimaksudkan dengan “al-Jamaah” ? Dari sudut bahasa al-Jamaah adalah persatuan di mana lawannya adalah perpecahan. Dari sudut istilah pula, al-Jamaah adalah persatuan umat Islam di atas kebenaran dan usaha mereka untuk menjauhkan perpecahan, pengasingan dan pemulauan (boikot) sesama umat Islam sama ada dalam bentuk yang kecil atau besar. Justeru, Rasulullah saw menyampaikan hadis di atas dalam rangka memberi amaran keras kepada umatnya untuk tidak berpecah belah menjadi beberapa kumpulan, puak atau kelompok yang saling berselisih dan bertelagah antara satu sama lain serta berlaku ujub (bangga) dengan kelompok masing-masing. Hendaklah umat Islam semuanya bersatu sebagai satu Jamaah.

Apakah Kreateria Utama “Al-Jamaah” Yang Sebenar.

Pertama : Sesiapa sahaja yang berpegang teguh kepada kebenaran maka dia termasuk al-Jamaah. Al-Jamaah bukanlah kumpulan, puak, firqah, parti atau persatuan, tetapi semua umat Islam yang bersatu di atas kebenaran. Kebenaran yang dimaksudkan di sini pula sudah tentulah kebenaran yang bersumberkan kepada petunjuk al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih berdasarkan amalan dan pemahaman generasi salafus soleh, iaitu generasi yang mendapat pengiktirafan baginda sebagai sebaik-baik generasi umat ini. Tidak boleh bersatu di atas sesuatu yang bathil atau terkeluar dari batas-batas islam seperti bersatu di atas amalan-amalan bid’ah dan seumpamanya. Justeru, sesiapa sahaja yang berpegang teguh kepada kebenaran tersebut, maka dia termasuk dalam al-Jamaah yang diiktiraf oleh baginda saw.

Kedua : Al-Jamaah tidak diukur berdasarkan kepada kuantiti atau bilangan pengikutnya. Sebaliknya, yang diukur ialah asas-asas yang membentuk sesuatu dasar manhaj atau pegangan. Inilah dasar pertama yang terpenting sehingga dijadikan pegangan Abd Allah ibn Mas’ud r.a sepertimana katanya : “Al-Jamaah adalah (setiap) apa yang menepati kebenaran – sekalipun – engkau bersendirian” [2].

Selain itu, Al-Imam Abu Syamah As-Syafi’e r.h ketika menghuraikan maksud al-Jamaah, beliau berkata : “Acapkali datang perintah untuk berpegang teguh dengan al-Jamaah, maka yang dimaksudkan (ialah berpegang kepada) kebenaran dan para pengikutnya, walaupun orang yang berpegang teguh dengan kebenaran sedikit jumlahnya dan orang yang menyelisihinya banyak jumlahnya. Hal ini kerana kebenaran ialah ajaran yang diamalkan oleh al-Jamaah generasi pertama semenjak Nabi s.a.w dan para sahabatnya r.a, dan tidak dipertimbangkan banyaknya jumlah pengikut kebatilan yang ada setelah mereka.. [3]

Bagaimanakah Seharusnya Kita Berjamaah ?

Pertama : Berjamaah adalah di atas kebenaran, iaitu umat Islam bersatu di atas kebenaran yang berasal dari al-Quran dan al-Sunnah yang sahih sebagaimana yang telah dijelaskan di atas. Jika didapati seseorang atau sesuatu kumpulan itu jelas menyalahi kebenaran, maka tidak perlulah lagi berjemaah dengannya seperti orang yang secara terang-terangan membenci sunnah Rasulullah dan para sahabat atau “kumpulan” yang meletakkan “firman” Allah dan “sabda” Rasulullah di tangga kedua selepas perkataan atau amalan tok guru atau para syaikh pujaan mereka.

Kedua : Berjemaah tidak semestinya bererti persatuan pendapat, tetapi adalah toleran (bertolak ansur) terhadap beberapa pendapat yang sedia ada. Namun perlu diingat bahawa sikap toleran hanyalah terhadap beberapa pendapat yang mana masing-masing memiliki kebenaran dan bukannya semua pendapat kerana pendapat yang jelas batil dan bertentangan dengan pegangan baginda s.a.w dan para sahabat r.a wajib ditolak atau diperbetulkan.

Ketiga : Berjemaah bukanlah bererti tidak boleh wujud beberapa kumpulan atau gerakan tetapi berjemaah adalah berkerjasama sesama kumpulan dan gerakan serta saling menghormati antara satu sama lain. Tidak boleh saling pulau memulau (boikot) dan memburuk-burukkan mana-mana individu atau gerakannya. Demikian juga, tidak boleh merasa ujub kepada ahli kumpulan atau gerakan sendiri sehingga merasakan kumpulan sendirilah yang paling benar lagi Islamik, sementara kumpulan lain sebaliknya. Sikap seumpama ini hendaklah dielakkan kerana jika dibiarkan ianya hanya akan menyemarakkan lagi semangat asobiah (taksub pada puak sendiri) dan api perpecahan umat atau al-Jama’ah Islamiyah yang diasaskan oleh baginda s.a.w.

Sekiranya ciri-ciri seperti ini terdapat dalam sesebuah kumpulan atau gerakan, maka ketahuilah bahawa sesungguhnya gerakan atau kumpulan tersebut tidak lagi dikira sebagai al-Jamaah yang benar, tetapi hakikatnya ia telah terkeluar dari al-Jamaah baginda s.a.w. Kepada mana-mana gerakan atau kumpulan yang memiliki ciri-ciri seperti ini, maka cukuplah firman Allah ini dijadikan sebagai peringatan :

“… Dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang mensyirikkan Allah, iaitu orang-orang yang memecah-belahkan agama mereka dan mereka menjadi beberapa golongan. Tiap-tiap golongan merasa bangga dengan apa yang ada pada golongan mereka …” (Surah al-Rum : 31)

Malah, baginda s.a.w sendiri juga pasti akan “berlepas tangan” dari golongan seperti ini, firman-Nya :

Bahawasanya orang-orang yang mencerai-beraikan agama mereka dan mereka menjadi berpuak-puak, tiadalah engkau (wahai Muhammad) terkait sedikitpun dalam (perbuatan) mereka. Sesungguhnya perkara mereka hanya terserah kepada Allah. Kemudian Dia akan menerangkan kepada mereka (pada Hari Kiamat kelak), apa yang telah mereka lakukan (dan membalasnya)..” (Surah al-An’am : 159)

Demikianlah secara ringkas beberapa dasar utama konsep berjamaah dalam Islam. Berjamaah berlandaskan dasar-dasar di atas wajib ditegakkan dan dipelihara tanpa mengira mazhab fiqh dan fikrah politik. Ingatlah, sesiapa sahaja yang memecah-belahkan al-Jamaah umat Islam, maka dia termasuk salah satu 72 kumpulan yang akan masuk ke dalam neraka. Walya’udzubillahi-min-dzalik.

Menyalah-gunakan Istilah Al-Jamaah

Di bawah ini akan penulis bawakan beberapa buah hadis sahih mengenai al-Jamaah yang SERING disalahgunakan oleh SEGELINTIR jamaah, puak, kumpulan atau golongan tertentu, di antaranya :

i) Dari Abd Allah ibn Abbas r.a, bersabda Rasulullah saw: “Orang yang memisahkan dirinya daripada JAMAAH sekalipun dengan jarak sehasta lalu dia mati, maka matinya adalah dalam jahliyah” [4]

ii) Dari ‘Abdullah ibn ‘Umar r.a, bersabda Nabi saw: “ ... tangan Allah atas JAMAAH dan barangsiapa yang mengasingkan diri, maka dia mengasing ke neraka ” [5]

iii) Dari ‘Umar ibn al-Khattab r.a bersabda Rasulullah saw : “ Wahai manusia, berJAMAAHlah kamu dan janganlah kamu berpecah-belah. Sesiapa yang hendak tempat di tengah-tengah syurga maka hendaklah dia selal berjamaah ” [6]

Demikian beberapa hadis Rasulullah saw mengenai kepentingan berjamaah dan ancaman keras bagi mereka yang memecah-belahkan al-jamaah umat Islam. Malangnya, hadis-hadis di atas dan lain-lain hadis sahih yang semakna dengannya (yakni hadis-hadis mengenai al-Jamaah) sering disalahgunakan dan dieksploitasi oleh SEBILANGAN kumpulan, puak atau golongan tertentu bagi menarik ahli baru dan mengancam mana-mana ahli yang hendak “keluar” daripada gerakan atau kumpulan mereka. [7] Sekali lagi ditekankan di sini bahawa maksud al-jamaah dalam hadis tersebut bukan sesuatu parti, pertubuhan, persatuan atau organisasi, akan tetapi semua umat Islam adalah satu jamaah. Oleh itu, hendaklah kita semua bersatu dan saling berkasih sayang sebagai satu jamaah. Tidak ada yang difikirkan, tidak ada yang diusahakan, tidak ada yang ditujukan kesetiaan, tidak ada yang diberikan pembelaan, tidak ada yang ditumpahkan perasaan cinta dan akrab melainkan sesama umat Islam seluruhnya.

Hendaklah kita semua sedar bahawa berjamaah adalah salah satu asas terpenting dalam agama. Oleh itu, janganlah asas ini diruntuhkan semata-mata hal-hal remeh atau menjaga kepentingan peribadi seperti ego dan maruah diri atau kumpulan-kumpulan tertentu. Fikir-fikirkanlah demi kepentingan agama dan umat Islam seluruhnya. Semoga risalah ini bermanfaat buat semua. Insya’Allah.

Sekian dahulu dari penulis, Wassalam. mohd.hairi_nonchi@yahoo.com.my



[1] Sahih – Dkeluarkan oleh Abu Daud dalam Sunannya – no: 4429. Disahihkan oleh al-Tirmizi, al-Hakim, al-Zahabi dan al-Juzani dalam kitab al-Abathil 1/302, al-Baghawi dalam Syarah al-Sunnah, 1/213, al-Syathibi dalam al-I’tisham, 2/698, , Ibn Taimiyyah dalam al-Majmu’ al-Fatawa 3/345, Ibn Katsir dalam Tafsir Ibn Katsir, 1/390, Ibn Hajar dalam Takhrij al-Kasysyaf, ms. 63, al-‘Iraqi dalam al-Mughni ‘an Hamlil Asfar, no: 3240, , al-Albani dalam Silsilah al-Sahihah, no: 203 dan lain-lain.

[2] Sahih – Dikeluarkan oleh Ibn ‘Asakir dalam Tarikh Damshiq, jld. 46, ms. 409 dan dinilai sahih oleh Syaikh Nashiruddin al-Albani dalam al-Misykat al-Mashabih, jld. 1, ms. 56.

[3] Abu Syamah As-Syafi’e, Al-Ba’its ‘Ala Ingkari Al-Bida’ Wal Hawadits, ms. 34

[4] Sahih - Dikeluarkan oleh Muslim dalam Sahih Muslim – no: 1849

[5] Sahih - Diriwayatkan oleh al-Tirmizi. Sila lihat Sahih Sunan al-Tirmizi – no: 2167 dan al-Jamii’ al-Saghier – no: 1818.

[6] Sahih – Dikeluarkan oleh Ibnu Abi Ashim dan dinilai sahih oleh Syaikh al-Albani dalam Kitab al-Sunnah – no: 897

[7] Sudah pasti sahaja perbuatan ini merupakan suatu pendustaan ke atas Rasulullah saw. Oleh itu, cukuplah penulis mengingatkan kepada mereka yang sering menyalah-gunakan istilah al-Jamaah untuk tujuan menjaga kepentingan “puak” sendiri dengan sabda Rasulullah saw: “ Barangsiapa yang berdusta menggunakan namaku dia telah menempah tempatnya dalam neraka” (Hadis sahih dikeluarkan oleh al-Bukhari dan Muslim). Ini kerana, antara salah satu bentuk pedustaan ke atas baginda s.a.w ialah memalingkan makna sesebuah hadis kepada perkara yang terkeluar daripada makna sebenar hadis tersebut.