Thursday, September 25, 2008

Pada Apa Kita Bersandar?

Pada apa kita bersandar?

“Kita bersandar pada dindinglah”

“Kita bersandar pada kerusilah”

Mungkin inilah jawapan umum apabila kita tanyakan soalan diatas kepada orang yang tengah bersandar tepi dinding dan orang yang tengah duduk atas kerusi. Tetapi, penulis ingin mengajak pembaca berfikir dan bertanya kepada diri sendiri. Selama ini kita hidup di bumi Allah ini, rezeki yang Allah bagi melimpah ruah ini, tak pernah ke kita terfikir pada apa kita besandar semasa kita menjalani hidup seharian. Penulis sebenarnya baru sahaja terjaga dari mimpi yang panjang dalam menjalani hidup ini apabila suatu peristiwa berlaku kepada penulis. Penulis berdiskusi dengan penganut buddha tentang agamanya,tiba-tiba dia bertanya kepada penulis.

“ Kamu punyer solat, kamu ikut sapa?”

Dengan spontan penulis tuturkan hadith baginda

“Solatlah sebagaimana kamu melihat aku solat” (HR. Al-Bukhari)

Kemudian penulis pun terangkan pada dia. “ Kami orang islam, segala amalan kami semuanya tidak berubah walaupun sedikit sejak zaman Nabi sampailah sekarang”. ( Dalam hati penulis: “Yer ker sama, bukan macam-macam ada ker, janganlah dia tanya tentang syiah, naya aku” )

Dia pula kata, “agama kami setiap seribu tahun, akan ada perubahan sesuai ikut perkembangan zaman”.

“Oh macam tu”. Perbualan kami panjang dan berperingkat-peringkat, dan akhirnya baru penulis tahu yang agama buddha ini bukanlah agama yang menyembah tuhan tetapi agama yang menyembah alam semula jadi. Setiap yang berlaku di muka bumi ini berlaku semula jadi. Maka penulis membekalkan dia CD Harun Yahya pada dia. Tapi penulis selidik-selidik, sampai sekarang dia tak tengok.

Kembali pada topik kita, kemana kita bersandar? Tentang solat pun baginda ada tunjuk, bahkan untuk buang air besar pun baginda ajar. Takkan dalam kita menjalankan dakwah islam ini baginda tidak ajar? Inilah persoalan yang membelenggu pemikiran penulis. Bukankah baginda berdakwah 23 tahun, pastilah dakwah juga baginda ajar. Maka wajiblah kita ikut apa yang baginda ajarkan. Sebab baginda telah bersabda:

“Aku telah tinggalkan kepada kamu semua dua perkara yang mana kamu tidak akan sesat selagi kamu berpegang pada kedua-duanya, iaitu Kitabullah dan sunnah Nabi-NYA. (HR Imam Malik dalam kitab al-Muwatto)

Bahkan baginda juga menegaskan

Demi Allah, telah aku tinggalkan kepada kalian di atas ajaran yang putih bersih, antara malam dan siang sama” ( HR. Ibnu Majah dan dihasankan oleh Al-Bani)

Bahkan Allah telahpun memperingatkan kita dalam Al-quran:

“Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah, dan ucapkanlah perkataan yang benar (dalam segala perkara). Nescaya Allah memperbaiki amalan-amalan kamu dan mengampunkan dosa-dosa kamu. Ingatlah sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-NYA, maka sesungguhnya dia telah berjaya mencapai kejayaan yang besar.”(surah al-Ahzab :70-71)

Lebih dari itu Allah memberi petunjuk kepada kita:

“ Hai orang-orang yang berima, taatilah Allah dan taatilah rasulNYA, dan ulul amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (Sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya. (An-nisa:59)

Setelah diutuskan baginda, seluruh ajaran Islam menjadi lengkap dan sempurna tanpa ada sedikitpun yang tertinggal atau tidak disampaikan kepada umatnya:

Firman Allah:

“ Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku pada kamu dan Aku telah redha Islam itu menjadi agama kamu” (al-Maidah:3)

Nabi s.a.w. bersabda:

“ Ketahuilah!, sesungguhnya Allah telah mengharamkan darah-darah kamu (daripada ditumpahkan melainkan dengan Hak) dan harta-harta kamu, seperti haramnya hari kamu ini ( kemuliaan pada musim haji). Di negeri kamu ini, pada bulan ini. Adakah aku telah sampaikan (Agama)? Para sahabat menjawab Ya. Kemudian baginda bersabda: Ya Allah! saksikanlah” (HR. al-Bukhari, no 4403)

Jelas dalil dalil hadith dan al-Quran ini menunjukkan bahawa ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi s.a.w telah lengkap, sempurna dan tidak perlu ditokok tambah.

Maka kepada Quran dan sunnahlah kita bersandar. Tetapi biasanya orang akan beralasan dengan menyatakan ini khilaf. Maka disini penulis mengambil kata-kata ulama-ulama besar tentang persoalan ini.

Al-Hafiz Abu Umar bin Abdil-Bar r.h . berkata:

“ Al-khilaf( perselisihan pendapat) bukanlah boleh dijadikan hujah pada seorang pun yang saya ketahui dari kalangan para ulama fiqh umat ini melainkan ianya adalah daripada orang yang tidak berpengetahuan, tidak ada ilmu di sisinya dan tidak pula ada hujah pada ucapannya” (Kaedah al-Ma’zirah wat-Ta’awun oleh Hamad bin Ibrahim al-Uthman, ms 70)

Al- Kattabi r.h. berkata:

“Bukanlah khilaf itu hujah. Sedangkan menjelaskan sunnah adalah hujah ke atas orang-orang yang berselisih pendapat dari ulama terdahulu dan ulama terkemudian” (Ibid)

Imam al-Syatibi r.h. berkata:

“Dan telahpun bertambah persoalan ini melebihi daripada perkara yang telah cukup sehingga khilaf dalam masalah-masalah dimasukkan pada hujah-hujah sehingga ianya menjadi perkara yang dibolehkan” (Ibid)

Ibnu Taimiyah r.h. berkata:

“ Dan tidaklah bagi seseorang , maksudnya dia berhujah dengan ucapan seseorang dalam persoalan khilaf . Dan hanyasanya hujah itu adalah: Nas dan Ijma serta dalil yang diambil daripada nas yang menetapkan bedasrkan dalil-dalil syara’. Bukanlah dengan ucapan-ucapan sebilangan ulama. Kerana sesungguhnya ucapan-ucapan ulama itu dijadikan hujah apabila ianya berdasarkan dalil-dalil syara’ tidak ia dijadikan hujah, keatas dalil-dalil syara’ .( Majmu al –Fatawa, jild 26 ms 202-203)

Maka penulis mengharapkan agar kita kembalilah kepada Al-Quran dan Sunnah yang menjadi sandaran kita dengan pemahaman generasi tebaik salafussaleh, janganlah kita membuat sesuatu perkara yang tidak ada berasal dari keduanya kerana baginda telah memperingatkan kita, dengan sabdanya:

“Barangsiapa berdusta terhadapku maka bersedialah mengambil tempatnya dari neraka” (HR. al-Bukhari)

“Barangsiapa dengan sengaja berdusta terhadapku maka bersedialah mengambil tempatnya dari neraka” (HR, al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, At-Tirmizi, Ahmad, Ad-Darimi dan Ibnu Majah)

“ Barangsiapa berdusta terhadapku maka dibina baginya sebuah rumah dalam neraka jahanam” (Mutafaq’Alaih)

“Barangsiapa yang meriwayatkan sebuah hadith dariku yang dipandang DUSTA maka dia adalah salah seorang pembohong” (HR. Muslim)

Bahkan Allah mengingatkan kita dalam Firmannya:

Sesungguhnya yang mengadakan kebohongan itu hanyalah orang-orang yang tidak beriman dengan Ayat-Ayat Allah dan merekalah pembohong-pembohong (An-Nahl:105)

Kenapa penulis utarakan dalil-dalil ini, kerana biasanya individu-individu atau jemaah-jemaah akan menyatakan apa yang dia atau mereka lakukan bersumber dari quran dan sunnah.Sama-samalah kita renungkan adakah kita termasuk orang yang tepat sandarannya?..... fikir-fikirkan.....

No comments: