Friday, January 16, 2009

Zikir dan Doa

Zikir dan Doa
Para Sahabat pernah menceritakan sebagai berikut:
“ Pernah kami duduk di hadapan pintu rumah Abdullah bin Mas’ud sebelum waktu solat pagi(subuh). Apabila beliau keluar, kami pun turut berjalan kaki bersamanya menuju ke masjid. Lalu datanglah Abu Musa al-Asy’arie menemui kami seraya berkata: “ Adakah Abu Abdir-Rahman(Ibnu Mas’ud) telah keluar menemui kamu?. Kami menjawab: Tidak. Beliau pun duduk bersama kami sehingga Abdullah bin Mas’ud keluar. Ketika beliau keluar, kami pun semuanya berdiri dan pergi menemuinya. Abu Musa pun berkata kepadanya: “ Wahai Abu Abdur-Rahman! Sesungguhnya saya telah melihat didalam masjid sebentar tadi perkara yang saya tidak sukai. Saya tidak melihatnya, alhamdulillah kecuali suatu yang baik. Beliau bertanya: “Apakah perkara itu? Abu Musa pun berkata: “Jika engkau panjang umur, engkau akan saksikan sendiri.” Abu Musa pun meneruskan ucapannya: “ Saya telah melihat didalam masjid suatu kaum yang bermajlis, mereka sedang duduk menunggu waktu solat. Di setiap suatu kelompok ada seorang mengetuai mereka dan di tangan mereka batu-batu kecil (tasbih). Lelaki itu menyeru kepada kumpulannya: Berakbirlah kamu dengan sebanyak seratus kali takbir. Lalu merekapun bertakbir. Kemudian dia menyeru lagi: “ Bertahlillah (ucapkanlah lailaha ilallah), maka merekapun bertahlil. Seterusnya dia menyeru: “ Bertasbihlah (ucapkanlah Subhanallah), maka mereka bertasbih. Ibnu Mas’ud pun bertanya kepada Abu Musa: “Apakah yang engkau katakan kepada mereka ? Abu Musa menjawab: “ Saya tidak berkata sesuatupun kepada mereka kerana saya menunggu pendapatmu dan tindakanmu.” Ibnu Mas’ud berkata : “ Adakah engkau tidak menyuruh mereka supaya menghitung sahaja kejahatan-kejahatan mereka dan engkau menjaminkan mereka bahawa kebaikan-kebaikan mereka tidak akan dipersia-siakan.” Kemudian Ibnu Mas’ud dan kami pun pergi sehingga tiba di tempat perkumpulan mereka itu. Maka Ibnu Mas’ud pun berdiri dihadapan mereka seraya berkata: “ Apakah yang kamu lakukan ini?! Mereka berkata: “ Wahai Abu Abdur-Rahman! hanya batu-batu kecil yang kami gunakan untuk bertakbir, bertahlil dan bertabih”. Berkata Abdullah bin Mas’ud: “ Maka hitungkanlah kejahatan-kejahatan kamu!Sesungguhnya saya menjamin kebaikan-kebaikan kamu tidak akan dipersia-siakan sedikitpun. Celakakah kamu wahai umat Muhammad! Alangkah cepatnya kamu celaka! Demi jiwaku ditanganNya! Sesungguhnya kamu ini berada diatas agama yang lebih baik daripada agama Muhammad?! Ataupun kamu ini adalah orang-orang yang membuka pintu kesesatan”. Mereka berkata : “Demi Allah wahai Abu Abdul-Rahman! Kami tidak menginginkan kecuali kebaikan .”Ibnu Mas’ud menjawab: “ Berapa ramai orang yang menginginkan kebaikan, namun dia tidak memperolehinya. Sesungguhnya Rasulullah saw pernah menceritakan kepada kami bahawa ada suatu kaum yang membaca al-Quran, tetapi tidak melebihi kerongkongan mereka”. Demi Allah! Saya tidak mengetahui mereka itu. Kemungkinan kebanyakan mereka adalah di kalangan kamu.” Kemudian Ibnu Mas’ud pun beredar meninggalkan mereka. Amru bin Salamah berkata: “ Kami telah melihat kebanyakan orang yang berada di majlis tersebut , mencela kami pada hari Nahrawan. Mereka bergabung bersama-sama puak Khawarij.” (Hadith Sahih Riwayat al-Darimi Kitabul-Mukaddimah: Bab: Fi karahiyati akhzi ar-ra’yi, 1/79(no.204)
Athar di atas secara jelas menunjukkan bagaimana sahabat Nabi saw yang mulia- Abdullah bin Mas’ud mengingkari perbuatan mereka yang mengadakan perkumpulan dan melakukan zikir secara beramai-ramai. Ibnu Mas’ud tidak sesekali mengingkari zikir yang diucapkan oleh mereka, kerana ia telah di maklumi pensyariatannya. Tetapi apa yang beliau ingkari ialah tatacara perlaksanaan itu.
(Disunting dari kitab Membela Sunnah Nabawiyah, Abdul Wahab bin Bustami).
Syeikh Nasiruddin al-Albani berkata:
“ Sesungguhnya hadith ini memberi pengajaran kepada golongan tarekat dan kumpulan zikir yang menyalahin sunnah. Jika ada orang yang mengingkari perbuatan mereka (zikir berjemaah), mereka akan berkata bahawa orang yang mengingkari perbuatan mereka itu telah mengingkari perbuatan harus berzikir. Sedangkan mengingkari perbuatan berzikir itu kufur. Sebenarnya apa yang diingkari ialah cara melakukan amalan zikir itu, seperti melakukannya secara beramai-ramai. Perbuatan sebegini tidak pernah di syariatkan pada zaman Nabi saw. Jika perkara ini adalah sunnah, mengapa Ibnu Mas’ud menentang perbuatan mereka yang berzikir secara berkumpulan itu?

Menurut Ibnu Waddhah, Abu Uthman al-Nahdi pernah berkata:
“ Seorang pekerja telah menulis sepucuk surat kepada ‘Umar al-Khattab menceritakan bahawa terdapat suatu kumpulan yang berkumpul di suatu tempat sambil mendoakan kaum muslimin dan pemimpinnya. Lalu Umar al-Khattab membalas semula surat itu sambil memerintahkan mereka agar menemuinya. Kemudian beliau memerintahkan dibawakan cemati kepadanya. Apabila kumpulan itu masuk menemuinya, lalu beliau menyebat mereka dengan cemati itu. Aku (pekerja tersebut) berkata: “ Kami bukanlah orang-orang yang saya maksudkan, mereka adalah orang-orang yang datang dari arah timur.” (Rujuk: Al-bida’wa al-Nahu anha, no.39)
Kisah ini menunjukkan tindakan ‘Umar al-Khattab yang bertindak menyebat kumpulan yang melakukan doa berjemaah itu sebagai tanda pengingkaran terhadap perbuatan itu kerana amalan itu tidak pernah dilakukan di zaman Nabi s.a.w.
(Disunting dari Kitab Amalan Berzikir antara Sunnah dan Rekaan Manusia, Mohd Khairil Anwar bi Abdul Latif).

No comments: