Sunday, April 12, 2009

Mengapa Allah SWT menakdirkan hidayah dan kesesatan? Mengapa tidak hidayah sahaja?

Mengapa Allah SWT menakdirkan hidayah dan kesesatan? Mengapa tidak hidayah sahaja?

Seringkali kita merasakan diri kitalah yang paling teruk takdir hidupnya, paling malang dalam dunia, paling bemasalah, paling susah, paling hina, paling tidak berdaya... sehingga mungkin kita terlepas dari landasan sehingga menyalahkan takdir. Penulis ingin kita bersama-sama menelusuri kisah di bawah ini sehingga akhir agar kita sama-sama dapat merungkai segala persoalan dihati yang selama ini mungkin membelenggu kita...

Pernah suatu ketika seorang murid menghadap gurunya lalu berkata: “Wahai guru, kamu seringkali menyampaikan kepadaku tentang masalah yang sangat menarik hatiku. Sehingga ingin sekali aku menanyakan kepada guru: “Mengapa Allah SWT menakdirkan hidayah dan kesesatan? Mengapa tidak hidayah sahaja? Mengapa Allah SWT mentakdirkan kepada suatu kaum berupa kebahagiaan, sedangkan kaum yang lainnya ditakdirkan sengsara? Mengapa tidak kebahagiaan sahaja? Mengapa ada syurga dan neraka, bukan hanya syurga? Apa dosa yang ditaqdirkan untuk tersesat dan kesengsaraan?”

Jawab si guru: “ Sesungguhnya pembahasan masalah ini erat sekali kaitannya antara khaliq dan makhluk. Yang pertama kita mulakan dengan masalah yang berkaitan dengan makhluk. Masalah ini sesungguhnya erat sekali hubungannya dengan kita sendiri dan lebih dekat dengan indera kita. Menurut hemat saya, manusia itu mempunyai akal. Dengan akal manusia dapat membezakan antara yang baik dan yang buruk. Dengan akal itu juga timbulnya taklif (pembebanan hukum), bererti seseorang yang berakal adalah mukallaf (yang dibebani hukum). Oleh kerana itu, tidak ada taklif bagi anak kecil dan orang gila.”

“ Di sisi lain, manusia itu mempunyai kebebasan. Ini tidak boleh disangkal oleh orang yang berakal. Dia berdiri, duduk, bahkan pergi dan datang kerana kebebasannya. Dia boleh berbuat taat kalau mahu, dan boleh juga bebas melakukan kemaksiatan jika mahu. Dengan demikian, dia tidak boleh berdalih kerana takdir”

“Jika dia tetap berdalih pada takdir, sementara potensi dirinya diketepikan, cuba kita pukul sahaja dia atau disakiti, atau kita lecehkan harga dirinya, maka bagaimana reaksinya? Atau kita katakan sahaja kepadanya, bahawa aku melakukan ini kerana takdir. Aku tidak boleh menolak terhadap sesuatu yang telah ditentukan kepadaku sebagaimana kamu katakan itu. Mengapa kamu membela dirimu dalam berbuat maksiat kepada Allah dengan alasan takdir, sementara yang lain tidak kamu bela? Jika dia tidak memaafkan kita, hujahnya jelas kalah.”

“ Jika kita menyuruh kepada orang supaya orang itu taat, sedang dia menjawab: “ Ya, aku akan taat jika Allah berkenan memberi petunjuk.” Maka katakan sahaja kepadanya: “ Sesungguhnya masalah petunjuk itu identik dengan rezeki. Allah SWT Maha Pemberi rezeki sebagaimana Allah Maha pemberi petunjuk. Jika kamu menunggu petunjuk dari Allah tanpa ada usaha sama sekali, maka cuba kamu menunggu rezeki tanpa ada ikhtiar, atau duduk sahaja dirumahmu, tutuplah pintumu sehingga rezeki yang kamu tunggu itu datang sendiri kepadamu!”

“ Orang itu pasti akan menolak. Dia akan menyatakan: “Tentu sahaja kita harus berusaha dan berikhtiar mencari rezeki!” Dengan pengakuan itu, hujahnya itu lemah dan dapat dikalahkan.”

Kita katakan lagi kepadanya: “Kamu bersandar kepada takdir dan menyatakan bahawa segala sesuatu itu berlaku berdasrkan titah qadha dan qadar. Ini memang boleh dibenarkan. Namun, cubalah api ini kamu pegang dengan tanganmu, maka jika ditakdirkan membakar, tentu api itu akan tetap membakar.” Jika dia menolak, maka kalah juga hujahnya.

Katakan pula kepadanya: “ Sesungguhnya, secara refleksioner manusia menghindari sesuatu yang tidak disukai. Misalnya akan terlanggar kereta, maka dia akan segera mengangkat tangannya, meskipun kedua tangannya itu tidak mampu untuk menghalangny. Begitu juga orang yang akan tenggelam, dia akan melambai-lambaikan tangannya agar selamat dari tenggelam, meskipun dengan lambaian tangannya itu tidak akan menjamin keselamatannya.”

Jika demikian, mengapa orang yang berakal tidak berusaha menghindarkan dirinya dari kesengsaraan di akhirat dengan kemampuan dan kebebasan yang telah diberikan kepadanya?

Guru berkata: “ Sesungguhnya Allah SWT Maha Bijaksana. Iaitu meletakkan sesuatu secara tepat. Kebijaksanaan Allah SWT ini meliputi adanya ketentuan iman dan kufur, petunjuk dan kesesatan, kebahagiaan dan kesengsaraan dan syurga mahupun neraka.”

“ Akal manusia memang terlalu lemah untuk dapat menyingkap kebijkasaan Allah SWT di dunia ini. Namun, di akhirat kelak dia akan nampak jelas semua kebijaksanaan AllahSWT itu di matanya. Itulah kelemahan manusia. Dia memang diciptakan dari tanah. Bagaiman mungkin mampu menemui kebijaksanaan Raja Yang Maha Kuasa?”

“Wahai guru, bukankah jawapan ini lemah?” sanggah murid.

Si guru menyangkal: “ Tidak begitu, anakku. Sekarang aku akan memberikan contoh kepadamu, supaya masalah ini akan menjadi lebih jelas. Kamu adalah seorang murid di peringkat menengah. Dalam peringkat ini kamu telah memperolehi pelajaran psikologi dan olahraga. Ketika gurumu menerangkan kepadamu teori kimia dan kamu dapat memahami dengan baik. Lantas apakah gurumu atau kamu sendiri dapat menerangkan kepada anak kecil sehingga dia pun dapat memahami sepertimu?”

“ Tentu sahaja tida,” kata si murid.

Kata gurunya: “ Mengapa tidak?”

“Kerana daya fikirannya belum mampu untuk menjangkau pelajaran seperti itu,” demikian kata muridnya.

Lalu si guru berkata: “ Jika anak kecil itu sekarang ini belum mampu menangkap teori olahraga ataupun kimia, maka sebentar lagi tidak tertutup kemungkinan dia akan mampu memahaminya setelah dia memasuki jenjang pendidikan menengah seperti kamu.” Jawapan guru ini dibenarkan oleh muridnya.

Lanjut, guru berkata: “ Tidak tertutup juga kemungkinan gurumu, semakin dia bertambah usia dan semakin aktif pula mendalami ilmu itu, tentu akan lebih menguasai secara mendalam lagi?” Murid pun membenarkan penyataan si guru.

Kata si guru: “ Kalau begitu, dengarkan baik-baik kataku ini!

“ Jika akal seseorang untuk menerima ilmu itu berbeza antara anak kecil, remaja dan orang tua, bererti alangkah jauh tingkat perbezaan akal manusia dengan kebijaksanaan Allah yang Maha Perkasa, Maha Mengatur dan Maha Mengetahui?”

Si murid akhirnya megucapkan terima kasih kepada gurunya yang telah menghilangkan kebimbangan hatinya.( dipetik dari buku 50 pesan Rasulullah S.A.W kepada kaum wanita, Syeikh Majdi Fathi Ibrahim, Jahabersa,2000, ms 92-98)

-Renungkan, fahamkan dan hadamkan di dalam hati dan sampaikan pada yang lain agar akidah dan iman kita benar-benar murni seperti tiga generasi terbaik ummat-

No comments: